Psychodynamic Counseling And Theraphy : Examination of The Unconscious dalam
Corey,G., (1977) Theory And Practice Of Counseling And Psychotheraphy, adalah
merupakan satu bab yang memperincikan tentang bagaimana seorang terapis
menggunakan teknik-teknik yang terdapat dalam Teori Psikodinamik. Secara
asasnya, teori ini adalah merupakan Teori Psikoanalisa yang telah diadaptasikan
oleh beberapa tokoh atau pengikut Sigmund Freud seperti Earnest Jones, Alfred
Adler, Erik Erikson, Erich Fromm, Karen Horney, Carl Jung, Wilheim Reich dan
Harry Stack Sullivan.
Bab ini menekankan bahawa ‘unconscious’ iaitu alam tidak sedar adalah
disebabkan oleh kurangnya kesedaran peranan mental. Ini menyebabkan seseorang
individu itu secara tidak sedar bertindak dan bertingkah laku ke arah sesuatu
tindakan. Oleh itu secara jelasnya, matlamat kaunseling psikodinamik adalah
untuk memperkembangkan kesedaran terhadap peranan-peranan alam tidak sedar dan
ianya sangat bersangkutan dengan kehidupan seharian manusia.
Untuk menimbulkan alam tidak sedar tersebut seseorang individu itu perlu
memahami fungsi-fungsi yang terdapat di dalam id, ego dan superego. Id secara
keseluruhan merupakan alam tidak sedar dan merupakan bahagian yang tidak dapat
dikawal. Ia amat bertentangan dengan superego di mana superego bertindak secara
sedar dan berlandaskan nilai-nilai moral di dalam masyarakat. Ego pula adalah
merupakan komponen perantaraan antara id (alam tidak sedar yang banyak
menentang dan mementingkan keseronokan) dan superego (alam sedar yang menurut
nilai moral masyarakat). Kebanyakan terapis dalam perhubungan menolong klien
membantu ego untuk menentukan dan menyeimbangkan antara id dan superego.
Sebagai contoh terapis moden Erik Erikson, menyatakan bahawa dengan
meningkatnya fungsi-fungsi ego dapat menyumbang kepada individu yang mempunyai
kuasa dan kawalan terhadap kehidupannya.
Anxieti dan tekanan adalah hasil daripada konflik yang berlaku antara id, ego
dan superego. Kerisauan adalah berpunca daripada memori atau pengalaman alam
sedar dan tidak sedar semasa perkembangan zaman kanak-kanak. Dalam percaturan
ketiga-tiga komponen ini, id sebagai pendesak, ego sebagai pengatur dan
superego pula sebagai pemerhati dan menguruskan gelagat id dan ego. Sekiranya
ego berjaya memuaskan kehendak id maka akan wujud rasa ketenangan tetapi
sekiranya gagal maka ego akan mengalami kerisauan.
Dalam menangani kerisauan ini, wujudlah satu istilah iaitu ‘Helah Bela Diri’
yang akan digunakan oleh seseorang individu bagi mengurangkan kesan kesakitan
daripada konflik tersebut. Ia merupakan proses psikologi yang bertujuan
mengurangkan penderitaan ego yang tidak dapat mengawal id dengan baik dan
membantu ego mempertahankan dirinya dari desakan dan dorongan yang kuat dari
id. Di dalam kes yang diketengahkan oleh penulis, klien menggunakan beberapa
helah bela diri seperti represi, penyangkalan / penafian, projeksi, pembentukan
reaksi, penyaluran, sublimasi dan lain-lain lagi. Tetapi melalui dialog hanya
kelihatan beberapa sahaja yang ditonjolkan.
Dalam bab ini juga ada menyatakan bahawa latihan kaunseling memfokuskan dalam
pembangunan objektif hubungan bukan peribadi. Kebenaran terapi psikodinamik
adalah umum, namun ia ditunjukkan melalui pengecualian dan penglibatan bukan
peribadi. Ramai ahli psikodinamik tidak memberi komen dalam tingkah laku bukan
secara lisan, berada dalam satu jarak daripada klien, duduk semula di atas
kerusi dan sama-sama berusaha untuk mengelak pergerakkan dan gambaran wajah.
Biasanya tafsiran yang bermakna adalah berdasarkan tingkah laku klien yang
bukan secara lisan. Namun terapi tidak membuat tafsiran tingkah laku tetapi
pemantauannya yang jelas diada-adakan mengikut arahan dalam sesuatu sesi.
Isu-isu luaran dan dalaman dibincangkan melalui skrip yang bertaip. Ia mungkin
menunjukkan sedikit ciri-ciri asas kepada kaunseling psikodinamik.
Teknik-teknik Asas Proses Psikodinamik
Teknik perkaitan bebas dapat merumuskan kaedah psikodinamik. Teknik ini
menggalakkan kaunselor dan klien mengeluarkan apa sahaja yang datang dari
fikiran. Adalah penting bahawa membuat keputusan secara kreatif adalah berkait
rapat dengan teknik penyatuan bebas. Dalam hal ini kaunselor dan klien bermula
dengan pengenalan asas mengenai sesuatu masalah atau isu. Klien mengaitkan
secara bebas apa sahaja yang datang di fikiran dan keputusan atau penyelesaian
pun akan mula muncul.
Teknik perkaitan bebas dalam kaedah wawancara atau skrip bertaip berkait rapat
dengan teknik penglibatan perasaan ( staying with the feeling ). Terdapat
saranan daripada ahli-ahli terapi, klien patut berada dalam perasaan panik atau
gugup dan menggunakannya sebagai asas kepada penyatuan bebas. Melalui menyelami
sama ada perasaan yang positif atau negatif ianya memungkinkan untuk menentukan
mesej atau maklumat daripada keadaan bawah sedar ( unconscious ) dan sebarang
maklumat yang terselindung untuk memahami diri seseorang atau diri sendiri
lebih mengukuhkan lagi fokus utama teknik perkaitan bebas terjadi melalui
pengulangan.
Analisis mimpi adalah satu lagi teknik penting dalam pendekatan psikodinamik.
Ia boleh dijalankan pada tahap biasa di mana maklumat yang nyata yang dapat
dilihat dalam mimpi dianalisis atau dinilai semula melalui teknik perkaitan
bebas. Di sebalik bahagian-bahagian yang jelas di dalam mimpi adalah maklumat
tersembunyi yang penuh bermakna. Teknik perkaitan bebas, pengulangan dan
penglibatan perasaan digunakan oleh kaunselor-kaunselor psikodinamik dalam
analisis mengenai mimpi. Teknik-teknik berkaitan analisis mimpi kemudian telah
menjadi suatu kaitan yang rapat dalam keadaan kehidupan sebenar.
Kepentingan lain mengenai teori dan kaedah dalam pendekatan psikodinamik adalah
pertentangan analisis-analisis ( analisis yang bertentangan ). Pertentangan
merujuk kepada sebarang perkataan atau tingkah laku klien yang menghalang
penerimaan perkara di bawah sedar.
Banyak pengaruh dalam pendekatan sebahagiannya adalah untuk mengabaikan
penahanan dan mencari jalan lain kepada pengucapan klien yang lebih mudah.
Kaunselor atau ahli terapi yang berkesan sebaliknya selalu memberikan perhatian
utama kepada isu atau faktor penahanan atau keengganan. Dalam proses
kaunseling, biasanya terdapat klien yang gagal mendengar atau mendapat maklumat
penting daripada kaunselor. Klien biasanya berada dalam keadaan tertanya-tanya.
Kadangkala klien mungkin dapat menerima maklumat terapi tetapi terlupa apa yang
telah diperkatakan dalam beberapa minit atau semasa sesi dijalankan.
Jenis-jenis lain penahanan terjadi apabila klien terhalang untuk menyampaikan
sesuatu, terkeluar bahagian-bahagian penting dalam sesuatu mimpi, lewat
menghadiri sesi atau kegagalan kepada matlamat perkaitan bebas. Penahanan
menunjukkan klien dalam pelbagai cara tanpa disedari cuba untuk menggagalkan
proses kaunseling.
Terdapat beberapa cadangan latihan bagi mengaitkan asas dan aspek-aspek
praktikal atau amalan dalam fungsi psikodinamik. Sesiapa yang melalui latihan
ini secara berhati-hati mendapat lebih banyak maklumat penting mengenai
perkaitan bebas dan berpotensi untuk digunakan dalam sesi kaunseling. Di antara
latihan-latihan yang dicadangkan termasuklah simbol-simbol dalam kehidupan
seharian, slip Freudian, analisis mimpi, analisisa penahanan dan analisa
pemindahan.
Tugas kaunselor psikodinamik adalah untuk menentukan sama ada perlu atau tidak
untuk berhadapan sebarang pertentangan secara segera atau kemudian.
Pertentangan merupakan perselisihan utama dalam hubungan antara kaunselor dan
klien. Satu pendekatan untuk menganalisis pertentangan ialah dengan membuat
tafsiran mengenai pertentangan dan kemudian menggalakkan klien ke arah
penyatuan.
Analisa pemindahan dan pertentangan pemindahan adalah dua lagi teknik penting
kaunseling psikodinamik. Pemindahan merujuk kepada perasaan dan fikiran klien
yang dipindahkan kepada kaunselor. Pertentangan pemindahan pula merujuk kepada
perasaan dan fikiran kaunselor yang berpindah kepada klien. Dalam analisis
pemindahan klien tidak mempunyai gambaran sebenar yang jelas mengenai matlamat
kaunselor. Klien lebih cenderung untuk membayangkan gambaran imej mengenai terapi.
Klien secara berterusan memindahkan perasaan dan fikirannya kepada orang lain
melalui terapi.
Pertentangan pemindahan pula selalunya menyebabkan kaunselor berada dalam
keadaan tertanya-tanya dan ini akan membawa kepada berlakunya gangguan dan
kemusnahan kepada proses kaunseling. Perasaan yang dipindahkan perlu juga
ditafsirkan dan dipilih.
Pendekatan-pendekatan psikodinamik merupakan satu tafsiran. Pentafsiran
merupakan satu skil atau kemahiran yang tinggi atau kompleks di mana
pengetahuan mengenai teori dan maklumat yang lengkap mengenai klien adalah
diperlukan. Dalam aplikasi yang spesifik kepada pendekatan psikodinamik,
kemahiran membuat tafsiran datang daripada pengetahuan luas ahli psikoanalisis
dan kemampuan untuk mengenal pasti keinginan, keperluan dan pelbagai perkara
dari dunia bawah sedar klien.
Hasrat ahli terapi adalah melahirkan klien yang boleh membuat tafsiran mereka
sendiri. Apabila klien dapat membuat tafsiran diri mereka sendiri, mereka
mengeluarkan sesuatu yang mereka lebih memahaminya. Secara keseluruhannya
dapatlah dikatakan bahawa perkaitan bebas merupakan asas kepada semua teknik
kaunseling psikodinamik. Dalam beberapa aspek, teknik-teknik lain semuanya
bergantung kepada teknik perkaitan bebas.
Batas-Batas Dan Penglibatan Praktikal Dalam Pendekatan Psikodinamik
Satu daripada masalah utama pendekatan psikodinamik dalam kaunseling adalah
kaunselor-kaunselor amatur yang tidak berpengetahuan luas tentang konsep dan
menggunakannya secara bebas kepada rakan dan klien tanpa memahami maksudnya
secara mendalam. Pendekatan-pendekatan psikodinamik sebenarnya tidak sekadar
memerlukan pengetahuan luas dan beberapa teknik tetapi memerlukan kajian yang
mendalam, pemerhatian daripada pelati-pelatih yang baik yang telah menamatkan
pengajian mereka dengan jayanya.
Ia memerlukan pengetahuan yang mendalam terhadap disiplin-disiplin dalam semua
kaedah yang digunakan. Tidak ketinggalan juga, pengajaran-pengajaran penting
dari pendekatan ini yang boleh membantu kebanyakan kaunselor atau terapi. Haruslah
disedari apa yang diperlihatkan oleh klien mengenai masalah yang dihadapi,
kerisauan atau tingkah laku bukanlah isu sebenar tetapi keadaan di sebalik
masalah yang nyata mungkin merupakan tekanan idea atau fikiran yang lebih luas
yang tidak diketahui.
Melalui teknik-teknik yang biasa digunakan terutama teknik perkaitan bebas
biasanya akan membawa lebih pengetahuan atau maklumat mengenai isu-isu yang
tersembunyi. Teknik analisa mimpi pada masa yang sama boleh digunakan sebagai
permulaan oleh kaunselor. Kaunselor dan terapi perlu sentiasa sedar mengenai
isu-isu pertentangan. Pertentangan berlaku apabila cadangan atau maklumat yang
dikemukakan oleh kaunselor tidak diterima sama ada secara langsung atau tidak
yang ditunjukkan oleh klien yang dengan cepat lupa apa yang diperkatakan oleh
kaunselor. Kaunselor yang berkemahiran akan sentiasa peka terhadap tanda-tanda
pertentangan oleh klien.
Pemindahan dan pertentangan pemindahan menjadikan sesuatu yang kompleks dalam
hubungan kaunselor dan klien. Namun pada tahap awal kaunselor perlulah
menyedari bahawa klien mungkin akan memindahkan fikiran dan perasaannya.
Keadaan mungkin akan menjadi mudah atau lebih kompleks bergantung kepada tahap
fikiran dan perasaan klien. Semua kaunselor yang berpengetahuan dan berpengalaman
memindahkan perasaan daripada klien mereka tanpa menghiraukan orientasi
berdasarkan teori.
Tanggapan segera terhadap mimpi klien adalah ciri-ciri analisis tanpa kawalan.
Satu daripda kemahiran utama ahli psikodinamik ialah membuat tafsiran. Membuat
tafsiran dalam bidang psikodinamik memerlukan kajian dan pemerhatian yang
mendalam. Kita seharusnya serius terhadap sebarang analisis tanpa kawalan yang
merupakan satu penyelewengan terhadap elemen pembinaan psikodinamik
KES – DIALOG BERORIENTASIKAN PENDEKATAN KAUNSELING
Bob adalah merupakan klien yang berada di peringkat awal proses kaunseling yang
menggunakan terapi psikodinamik dan telah berjumpa dengan terapis sebanyak tiga
kali. Bob mempunyai masalah di mana ia kurang berminat terhadap keluarga, mempunyai
perasaan anxieti dan kurang melibatkan dirinya ke dalam dunia kerjayanya. Ia
berusia 32 tahun, bekerja sebagai arkitek. Beliau telah mendirikan rumah tangga
dan mempunyai seorang cahaya mata berusia 2 tahun. Dalam kes ini, terapis tidak
menggunakan teknik tradisional yang mana memakan masa yang panjang (20 – 30
sesi) tetapi hanya berorientasikan rawatan jangka pendek biasanya 1- 5 sesi
untuk satu-satu rawatan. Bob seorang klien yang mempunyai tahap intelektual
yang tinggi dan mula bercerita sebaik sahaja mengambil tempat duduknya.
Di bawah ini adalah sebahagian contoh perbualan klien dan kaunselor.
1. Bob : Nampaknya keadaan menjadi semakin baik sekarang. Saya berjaya mendapat
satu kerja melukis pelan di kompleks apartmen. Akhir-akhir ini Sue jarang
bersama saya. Keadaan menjadi lebih baik nampaknya.
2. Kaunselor : (Senyap)
3. Bob : Saya sebenarnya melakukan yang terbaik di apartmen itu. Bos saya ada
mengatakan begitu juga. Saya sebenarnya ingin menunjukkan kepada awak apa yang
telah saya lakukan. Ya, saya rasa keadaan akan menjadi baik. Hujung minggu ini
saya akan membawa Sue dan Sonny pergi mendaki bukit.
4. Kaunselor : Ehm..ehm.mmm
5. Bob : Ya, ini adalah perubahan yang sebenarnya. Saya tidak pernah melakukan
perkara sebegini sepanjang usia saya. Kami sebenarnya menikmati masa bersama
dengan baik tetapi setelah berlakunya insiden di menara api dekat Iron
Mountain…(memandang kepada kaunselor).
6. Kaunselor : Ehm…ehmmm.
7. Bob : Emm..apa yang berlaku sebenarnya adalah asing bagi saya. Kami memanjat
menara selepas makan tengah hari, sambil bernyanyi-nyanyi kami akhirnya sampai
ke kemuncak itu. Saya mula menikmati pemandangan yang indah itu, tiba-tiba saya
baru teringat bahawa saya telah meninggalkan Sonny di atas pagar itu… dan
tiba-tiba perasaan saya menjadi cemas.
8. Kaunselor : Ok, kekalkan perasaan cemas itu dan ceritakan dengan panjang
lebar lagi mengenainya kepada saya.
9. Bob : Ya…ketika itu perasaan cemas telah menguasai diri saya. Saya sangat
takut jika tiba-tiba Sonny terjatuh. Saya nak dia memegang saya, maksud saya
ialah saya nak memegang dia dengan kuat.
10. Kaunselor : Baiklah, cuba untuk kekalkan perasaan cemas itu dan biarkan
ingatan itu bebas dalam pemikiran anda. Beritahu saya peristiwa yang mula-mula
sekali terlintas dalam pemikiran anda.
11. Bob : (Diam seketika. Matanya merenung ke lantai). Saya melihat diri saya
memanjat Trail Ridge Road di Rocky Mountain Park. Ketika itu saya berusia dalam
5 atau 6 tahun. Ketika itu ayah mempunyai rencananya yang tersendiri. Saya
ingat lagi ketika dia meniti di atas pagar tersebut. Saya dapat melihat dia,
dia bangun dan berjalan di atasnya. Saya masih ingat lagi, saya dan ibu sangat
cemas apabila melihat dia tiba-tiba dia hilang keseimbangan badan dan
nyaris-nyaris terjatuh. Ia kelihatan sungguh pucat.
12. Kaunselor : Jadi, bila anda berada di atas menara api, anda merasa sangat
cemas terhadap Sonny dan begitu juga perasaan anda terhadap bapa anda apabila
melihat beliau hampir-hampir terjatuh.
13. Bob : Ya…?
14. Kaunselor : Nampaknya sekarang saya dapat melihat tangan anda menggeletar.
15. Bob : Saya sangat cemas sekarang. Apakah maksud ini semua?
16. Kaunselor : Anda keliru dan mengalami kesukaran. Apa yang anda fikirkan
sekarang?
17. Bob : Saya mengalami perasaan yang sama pada Sonny dan pada ayah saya.
Perasaan cemas yang sama. Kedua-duanya berada di tempat tinggi, saya tidak suka
kepada tempat tinggi.
18. Kaunselor : Baiklah, anda seolah-olah merasai perasaan yang sama dalam
kedua-dua situasi. Adakah dengan cara ini anda dapat meluahkan pengalaman zaman
kanak-kanak anda sekarang?
19. Bob : Oh Tuhan! Diri saya tidak memberi apa-apa makna kepada bapa saya.
Beliau tidak pernah memberikan perhatian terhadap saya. Trip itu adalah salah
satu dari beberapa kali untuk dia tidak bersama saya. Beliau meninggal sebaik
sahaja pulang dari trip itu, awak tahu…
20. Kaunselor : Jadi, pengalaman anda bersama Sonny di atas menara api itu
banyak mempunyai hubung kaitnya dengan pengalaman awal anda bersama bapa anda.
Ingat tak, tadi anda berkata bahawa anda ingin memegang anak anda dengan rapat
ketika di menara. Sebelum itu, ingat tak anda berkata sesuatu?
21. Bob : (Memandang dengan pandangan yang kosong). Tidak, kenapa?
22. Kaunselor : Kedengaran seolah-olah saya tidak dapat menjejaki apa yang anda
maksudkan. Anda baru saja mengatakan bahawa ayah anda meninggal sebaik sahaja
pulang dari lawatan itu.
(Sesi kaunseling berlangsung seterusnya…)
ULASAN DIALOG MENGIKUT PENDEKATAN DAN TEKNIK
Berdasarkan sebahagian daripada dialog antara kaunselor dan klien di atas
mendapati bahawa perasaan klien tersebut dipengaruhi oleh peristiwa masa lampau
iaitu ketika beliau berada di zaman awal kanak-kanaknya. Peristiwa itulah yang
mempengaruhi perasaan dan keadaan emosi klien pada masa berjumpa dengan
kaunselor.
Dalam sesi kaunseling ini, kaunselor menggunakan beberapa kemahiran asas
kaunseling seperti dorongan minima, mengajukan soalan terbuka, membuat refleksi
perasaan, membuat parafrasa dan membuat refleksi isi. Dengan cara ini kaunselor
dapat meneroka dunia klien dengan lebih mendalam lagi.
Kaunselor memutuskan untuk menggunakan Terapi Psikodinamik apabila mendapati
klien bercerita tentang masa lampaunya. Ini adalah selaras dengan pendekatan
yang telah diutarakan oleh Sigmund dan dipersetujui oleh para pengikutnya. Oleh
itu kaunselor memilih untuk menggunakan satu kaedah yang terdapat di dalam
pendekatan ini iaitu Teknik Perkaitan Bebas. Teknik yang digunakan dalam sesi
kaunseling ini adalah ‘perkaitan bebas’ yang merupakan teknik utama dalam
terapi Psikoanalisa. Dalam Teknik Perkaitan Bebas, kaunselor akan cuba
menenangkan fikiran klien dengan menggalakkan klien meluahkan segala isi hati
dan perasaan yang tidak logik dan rasional. Kaunselor menggunakan kaedah ini
untuk klien mengingat dan meluahkan emosi yang bersabit keadaan-keadaan
traumatik masa lalu. Proses ini juga dikenali sebagai ‘katarsis’. Semasa proses
ini dilakukan, kaunselor berperanan mengenalpasti bahan represi yang masih
terkunci di alam tidak sedar klien.
Bahan represi tersebut adalah merupakan pengalaman klien semasa zaman lampaunya
bersama dengan ayahnya. Perasaan inilah yang mengancam diri klien. Akhirnya
untuk terus melenyapkannya daripada merasa kesakitan, klien tersebut menekankan
pengalaman itu ke alam tidak sedar. Dengan cara ini klien dapat mengurangkan
kesakitan dan ketegangan yang dialaminya. Tetapi pengalaman itu tidak mudah
hilang daripada diri klien dan muncul semula apabila klien telah dewasa. Ini
dinyatakan sendiri oleh klien apabila beliau mengalami perasaan cemas yang sama
terhadap bapa dan juga kepada anaknya. Apabila berhadapan dengan situasi yang
sama iaitu berada di tempat tinggi, klien secara tidak langsung akan terus
merasai perasaan tersebut.
Melalui teknik perkaitan bebas, pintu hati dan fikiran klien yang selama ini
memendam dan menekankan berbagai-bagai perasaan dan pengalaman akan terbuka.
Dengan mengikuti curahan hati dan pengalaman ini serta sekatan-sekatan yang
dialami oleh klien semasa mencurahkan isi hatinya dengan bebas inilah kaunselor
dapat memahami perkara yang menyebabkan masalahnya. Kaunselor akan cuba
menjelaskan perkara-perkara ini kepada klien sehinggalah klien dapat memahami
dan mendapat celik akal. Dengan bantuan kaunselor, klien dapat memahami perkara
yang selama ini ia tidak memahaminya. Dalam contoh kes ini kaunselor yang
menggunakan teknik ini akan bersifat pasif di dalam interaksinya dengan klien.
Melainkan sekali-sekala sahaja kaunselor bersuara untuk mendorong klien
meneruskan luahan hatinya.
Dalam teknik perkaitan bebas yang tradisional, klien akan berbaring di atas
kaus, manakala kaunselor akan membelakangi klien. Walau bagaimanapun,
pengamalannya sekarang menjadi kurang tradisional tetapi apa yang akan
dititikberatkan oleh kaunselor yang mengamalkan terapi ini adalah matlamat
dalam sesi kaunseling itu sendiri iaitu untuk membentuk semula personaliti
klien agar segala yang terpendam di alam tidak sedar dapat dialami di alam
sedar. Klien juga akan digalakkan untuk menguatkan ego agar dapat berfungsi
menurut prinsip realiti, tanpa dikongkong atau didorong oleh desakan-desakan id
ataupun superego.
Berdasarkan dialog kes tersebut, klien pada dialog 3 dan 5, menggunakan
mekanisme helah bela diri ‘Undoing’ di mana klien ada mengatakan bahawa beliau
tidak pernah melakukan perkara sebegini sepanjang usianya. Tindakan klien
adalah untuk memperbaiki sesuatu yang telah rosak dengan harapan agar ia dapat
menebus kembali kesalahannya. Klien berusaha untuk melakukan apa sahaja untuk
memperbaiki kesilapannya yang lalu.
Teknik perkaitan bebas ini dapat dilihat pada dialog 8 dan 10, kaunselor dengan
jelas mengarahkan klien agar kekal berada di dalam perasaan cemas itu bagi
mendorong klien terus merasai perasaan itu untuk dibawa ke alam sedar. Melalui
teknik ini kaunselor membawa klien meneroka ke zaman lampau klien pada dialog
10. Pada dialog 11, klien mampu merasai zaman lampau dengan jelas selari dengan
perasaan yang dialami terhadap bapa dan juga anaknya sendiri.
Pada dialog 12, kaunselor menggunakan teknik pentafsiran di mana kaunselor
menganalisis perkaitan bebas klien dengan menjelaskan berdasarkan apa yang
klien nyatakan agar dapat memberi peluang kepada ego klien untuk
mengasimilasikan bahan-bahan baru iaitu apa yang klien rasa terhadap anaknya
akan mempercepatkan pendedahan lanjut bahan-bahan alam tidak sedar klien iaitu
zaman lampaunya bersama ayahnya.
SOKONGAN BAHAN LUAR
Menurut Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh dan Habsah Md Yusof (2003), sesi
kaunseling yang berkesan adalah apabila dirancang secara sistematik dan
teratur. Oleh itu kaunselor perlulah bijak menggunakan teknik yang bersesuaian
untuk diaplikasikan di dalam sesi kaunseling tersebut. Dengan bantuan
teknik-teknik yang tertentu kaunselor akan dapat membantu klien menyatakan
perasaannya dan klien akan mudah mengenal siapa dirinya dan dalam erti kata
yang lain adalah mudah untuk mendapat celik akal.
Dalam kes yang dinyatakan, masalah klien adalah dipengaruhi oleh kisah
lampaunya ketika berusia 5 hingga 6 tahun. Menurut Amir Awang (1987), klien
tersebut telah mengalami masalah pada zaman perkembangannya iaitu Peringkat
Zakar dan Faraj ketika berusia 4 – 5 tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak akan
memperolehi kepuasan biologi dan mula mendapat kepuasan asas seks. Di peringkat
ini kanak-kanak mula mengalami kompleks memusuhi ibubapa yang sama jantina. Kegagalan
ibubapa memberi perhatian dan kasih sayang pada peringkat ini menyebabkan
perkembangan psikoseksnya tersekat di peringkat ini dan menyebabkan ia akan
menjelma semula ketika klien tersebut meningkat dewasa. Demikianlah yang
berlaku terhadap klien di mana ia tidak mendapat perhatian yang sewajarnya
daripada ayahnya.
Konsep dan tema utama terapi ini seperti yang telah diutarakan oleh Sigmund
Freud dalam Muhd Mansur Abdullah (1997) adalah akal manusia dibahagikan kepada
3 bahagian dalam satu teori topografikal iaitu alam sedar, alam pra-sedar dan
alam tidak sedar. Dalam kes klien tersebut, ketiga-tiga alam ini dapat
dijelaskan merujuk kepada konsep seketul ‘iceberg’ besar yang terapung di atas
permukaan air dalam rajah berikut :
Rajah 1 : Seketul ‘iceberg’ yang menggambarkan pemikiran klien
Berdasarkan dengan apa yang telah dinyatakan di atas, dalam kes klien yang
dinyatakan ini kaunselor tersebut menjalankan sesi kaunseling dengan membawa
pendekatan teori psikodinamik yang membawa kepada dua matlamat utama.
Dalam perhubungan menolong tersebut, kaunselor berperanan untuk membentuk
semula watak klien supaya segala apa yang terpendam di alam tidak sedar klien
dapat dialami di alam sedar. Melalui proses kaunseling, struktur perwatakan
klien diubahsuai dengan mengubah perkara yang tidak sedar kepada sedar. Ianya
dapat membantu klien mengalami celik akal pada dirinya.
RUMUSAN
Kaunselor dalam kes ini memilih untuk menggunakan teknik perkaitan bebas dalam
teori psikodinamik memandangkan klien mempunyai masalah berkaitan zaman
lampaunya. Kaunselor tidak memilih untuk menggunakan teori-teori lain
disebabkan oleh teori tersebut yang paling sesuai apabila berhadapan dengan
kes-kes yang bersangkutan dengan zaman lampau terutamanya di waktu zaman
perkembangan kanak-kanak klien. Berdasarkan pendekatan teori ini yang
mengatakan bahawa tingkah laku manusia masa kini dipengaruhi oleh pengalaman
masa lampau.
Secara keseluruhannya dapat dilihat bahawa pemilihan teori dan teknik di atas
berpadanan dengan kes yang dibawa oleh klien. Teknik perkaitan bebas adalah
merupakan teknik utama dalam teori ini di mana melalui teknik ini klien akan
terus bercerita dan meluahkan segala perasaan yang terpendam di alam tidak
sedar dapat dikeluarkan. Oleh itu dengan mengikuti curahan hati dan pengalaman
ini kaunselor dapat meneroka permasalahan klien dengan lebih mendalam lagi.
Teknik ini juga digunakan oleh kaunselor tersebut bagi merangsang klien untuk
mengingat dan meluahkan emosi yang berkaitan dengan pengalaman traumatik yang
dialami oleh klien pada masa lampau.
Secara kesimpulannya dapatlah disimpulkan bahawa teknik yang digunakan oleh
kaunselor mempunyai signifikannya yang tersendiri dan berkesan dalam membantu
menangani permasalahan yang dibawa oleh klien. Dengan teknik ini klien akan
mudah mendapat celik akal lantaran itu mengetahui cara untuk mengawal
kehidupannya.