Perbezaan Antara Psikoterapi, Kaunseling
dan Bimbingan
Dalam kehidupan masyarakat di
Malaysia terutama dalam kalangan orang Melayu, konsep bekerjasama, tolong
menolong, bergotong-royong sudah menjadi budaya sejak zaman dahulu lagi. Konsep
aktiviti yang berbentuk ‘musyawarah’ atau perundingan dengan pihak-pihak lain
untuk menyelesaikan masalah atau mencapai persetujuan bukanlah sesuatu yang
asing dalam kehidupan masyarakat dahulu. Malah masyarakat Melayu terutamanya
lebih cenderung untuk menyelesaikan masalah melalui majlis tersebut secara
perbincangan, bertukar-tukar pendapat dalam membuat keputusan atau mencapai
matlamat. Dalam majlis ini orang yang bertanggungjawab dalam mengendalikan
permasalahan masyarakat biasanya terdiri daripada para imam, ketua kampung
ataupun mereka yang disegani masyarakat seperti guru agama, guru sekolah dan
sebagainya.
Pada masa
kini perhubungan menolong telah mendapat tempat di hati masyarakat. Masyarakat
kini semakin bijak dalam memperoleh perkhidmatan menolong melalui individu-individu
yang terlatih dalam bidang psikologi dan kaunseling. Namun begitu, masyarakat
umum belum lagi dapat membezakan antara perkhidmatan psikoterapi, kaunseling
dan bimbingan. Secara umumnya, masyarakat mengetahui bahawa kaunseling adalah
nasihat, manakala nasihat dan bimbingan juga adalah kaunseling. Walaupun nampak
secara praktisnya adalah sama dari aspek menolong tetapi ketiga-tiga aspek ini
mempunyai perbezaan yang agak ketara kepada pengamal perhubungan menolong ini.
Perhubungan menolong kini dibantu oleh pelbagai teori, kemahiran dan teknik
yang menjadikan bidang itu suatu bidang yang profesional.
Dalam memahami istilah dan konsep
ketiga-tiga aspek ini beberapa sumber rujukan perlulah dilihat dalam usaha
untuk memperjelaskan lagi kefahaman dalam membezakan ketiga-tiga aspek
perhubungan menolong ini.
Psikoterapi
Menurut
Kamus Dewan Edisi Ketiga, psikoterapi membawa maksud rawatan sakit jiwa atau gangguan mental dengan
menggunakan kaedah psikologi. Menurut Kamus Yahoo:
Education, psikoterapi adalah “The
treatment of mental and emotional disorders through the use of psychological
techniques designed to encourage communication of conflicts and insight into
problems, with the goal being relief of symptoms, changes in behavior leading
to improved social and vocational functioning, and personality growth”.
Mahmood
Nazar Mohamed (2001), menyatakan kaedah terapi jiwa atau lebih dikenali dengan
nama psikoterapi membawa erti rawatan kecelaruan jiwa dan tingkah laku
menggunakan kaedah psikologi. Altrocchi (1980) dalam Ab Alim Abdul Rahim (1994)
menyatakan psikoterapi merupakan proses seseorang atau beberapa orang
profesional kesihatan mental membantu seseorang atau lebih individu yang
mengalami kesukaran psikologi dalam hidupnya.
Kaunseling
Pepinsky
& Pepinsky dalam Sapora Sipon et al (2003) menyatakan kaunseling adalah
satu proses yang membabitkan interaksi antara seorang kaunselor dengan
kliennya. Interaksi ini berlaku dalam keadaan sulit dengan tujuan membantu
klien mengubah tingkah lakunya sehinggalah resolusi yang diambilnya memuaskan
kehendaknya. Beliau juga menekankan agar sesi kaunseling dijalankan dalam
suasana tertutup, sulit, tidak dilihat dan tidak didengari oleh orang lain.
Muhd Mansur
Abdullah & Siti Nordinar Mohd Tamin (1996) kaunseling membawa maksud
sebagai satu perhubungan interpersonal yang digunakan oleh kaunselor membantu
individu secara keseluruhan untuk menyesuaikan diri dengan lebih berkesan
terhadap dirinya sendiri dan juga terhadap persekitarannya.
Rickey &
Therese (1995) menjelaskan definisi kaunseling sebagai “a profesional relationship between a trained counselor and a client.
This relationship is usually person-to-person, although it may sometimes
involve more than two people. It is designed to help clients to understand and
clarify their views of their lifespan, and to learn to reach their
self-determined goals through meaningful, well-informed choices and through
resolution of problems of an emotional or interpersonal nature”
Shertzer dan
Stone (1974) dalam Abdul Ghani Sulaiman (2003) menegaskan bahawa kaunseling
adalah proses interaksi yang membolehkan individu ini memahami diri dan
situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat
dan nilai hidup individu itu sehingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar
diambilnya untuk masa depannya.
Bimbingan
Muhd Mansur
Abdullah & Siti Nordinar Mohd Tamin (1996) bimbingan merupakan bantuan yang
diberikan kepada individu yang bertujuan untuk mengembangkan pemahaman terhadap
diri sendiri dan juga terhadap sesuatu di persekitarannya. Begitu juga antara
terma kaunseling dan bimbingan juga sering digandingkan bersama apabila
menyentuh isu-isu yang berkaitan seperti menurut Failor dalam Muhd Mansur
Abdullah & Siti Nordinar Mohd Tamin (1996) bimbingan dan kaunseling itu
merupakan khidmat membantu individu dalam proses pemahaman diri dan penerimaan
dirinya, memahami dirinya dari segi ekonomi buat masa kini dan perencanaan masa
depannya, serta menyesuaikan pula kedua-dua pembolehubah pemilihannya itu
mengikut kepuasan dan keberkesanan dirinya.
PERBEZAAN ANTARA PSIKOTERAPI, KAUNSELING DAN
BIMBINGAN
Rickey
(1995) menyatakan satu masalah yang sering dihadapi oleh pengamal kaunseling
iaitu dalam membezakan antara kaunseling dan psikoterapi. Beliau menegaskan
usaha dalam membezakan kedua-dua aspek ini belum dijumpai yang mendapat
kelulusan secara universal. Sesetengah pengamal berpendapat bahawa adalah tidak
perlu dibezakan kerana penggunaan terma ini boleh digunakan secara sinonimnya.
Ini adalah kerana kaunselor-kaunselor yang terlatih juga biasanya dilatih
sebagai psikoterapi.
Walau
bagaimanapun, menurut Rickey (1995), perbezaan antara psikoterapi dan
kaunseling yang dibuat adalah samar dan tidak jelas. Cottone dalam Rickey
(1995) membezakan kedua-dua faktor ini dari aspek sejarah, jenis klien, seting
tempat, perbezaan matlamat dan keseriusan yang dihadapi oleh klien. Perbezaan
ini kelihatan samar kerana program-program di hospital juga menyediakan
perkhidmatan kaunseling seperti juga terapi di mana individu-individu yang terlatih dalam bidang kaunseling
juga diambil bekerja dalam seting
psikologi dan psikiatri. Dalam kata lain kaunselor juga menyediakan
perkhidmatan seperti prikoterapis dan psikoterapis juga menyediakan
perkhidmatan kaunseling. Walau bagaimanapun dalam menyediakan perkhidmatan yang
sama, kaunseling dan psikoterapi adalah berbeza.
Kaedah Amalan
Dari segi
perlaksanaannya, Mahmood Nazar Mohamed (2001) menjelaskan bidang psikoterapi
menggunakan teknik yang dikenali sebagai hipnoterapi bagi tujuan membantu
pesakit mengenali dan memahami masalah yang menyebabkan kecelaruan jiwa yang
sedang mereka alami seperti yang dicadangkan oleh Klienhauz (1985) iaitu
hipnoterapi ialah sejenis alat yang boleh menolong psikoterapis. Harper dan
Parloff dalam Ab Alim Abd Rahim (1994) menyatakan sekarang terdapat lebih
kurang 130 pendekatan psikoterapi yang berbeza-beza di antara satu sama lain.
Kesemua pendekatan mempunyai kriteria sebagai asas proses psikoterapi. Terdapat
empat kriteria iaitu diterima, meluaskan konsep kendiri, mempelajari tingkah
laku yang baru dan mengalami perasaan.
Mahmood Nazar Mohamed (2001), pakar psikiatri sering menggunakan dadah dan
ubat-ubatan untuk merawat dan meredakan penyakit mental di samping menjalankan
penyelidikan dalam bidang tersebut dengan menggunakan kaedah psikoterapi. Ab
Alim Abd Rahim (1994) proses psikoterapi melibatkan beberapa perkara penting
dengan menggunakan model pendekatan iaitu Psikoanalisis, Tingkah Laku, Kemanusiaan,
Kewujudan dan Antara Perseorangan. Psikoterapi melibatkan seorang atau lebih
ahli terapi juga melibatkan seorang atau lebih yang ditolong. Kaedah
psikoterapi yang digunakan merupakan kaedah psikologi bagi membantu mengatasi
tingkah laku bilazim dan jarang digunakan untuk masalah harian.
Kaunseling
pula mempunyai beberapa jenis pendekatan iaitu pendekatan krisis, pemulihan,
pencegahan dan perkembangan. Kaunseling juga melihat dan menitikberatkan kepada
bidang psikososial, kognitif, afektif, fizikal, seksual, vokasional dan
kerjaya. Dalam menjalankan sesi kaunseling terdapat juga beberapa proses,
teknik dan kemahiran yang digunakan berdasarkan kepada teori-teori yang
diperkenalkan oleh pelopor-pelopor barat. Antara teori-teori yang digunakan
dalam kaunseling adalah teori Psikoanalitik, teori Gestalt, teori Realiti,
teori Adler dan lain-lain lagi.
Dalam sesi
kaunseling terdapat beberapa proses iaitu satu urutan peristiwa yang berlaku
dalam satu jangka masa dan berkembang dari satu peringkat ke satu peringkat
sehingga mencapai matlamat kaunseling itu sendiri. Abdul Ghani Sulaiman (2003)
kaunseling merupakan proses berkongsi daripada segi intelek dan emosi di antara
kaunselor dan klien. Aspek kemahiran juga amat dipentingkkan dalam menjalankan
sesi kaunseling. Untuk menjayakan proses kaunseling kaunselor perlu
mengetahui dan mempunyai kemahiran
kaunseling yang dikendalikan. Sapora Sipon et al (2003) kemahiran-kemahiran
yang perlu dikuasai oleh kaunselor adalah seperti kemahiran menyoal, kemahiran
berkomunikasi, kemahiran melakukan dorongan minima, kemahiran memparafrasa,
kemahiran membuat klarifikasi, kemahiran membina hubungan, kemahiran meneroka,
kemahiran berempati, kemahiran menghadapi kesenyapan, kemahiran mengetahui
teori dan teknik-teknik kaunseling.
Rickey
(1995) terma bimbingan masih digunakan kepada asas perkhidmatan menolong yang
terhad walaupun ia memberi fokus seakan sama dengan kaunseling. Berdasarkan
kepada konsep yang digunakan dalam pelbagai aktiviti, bimbingan adalah ke arah
mendidik terutamanya kepada pelajar terutama dalam memilih kerjaya. Bimbingan
juga merupakan satu elemen daripada aktiviti kaunseling dalam membantu individu
seperti kaunseling kelompok, konsultasi dengan pihak pentadbir dan guru dan
juga kaunseling keluarga.
Profesional yang terlibat
Mahmood
Nazar (2001), pakar psikoterapi mempunyai Ijazah Kedoktoran (ph.D.) dalam
bidang psikologi. Tumpuan mereka ialah pesakit yang menghadapi masalah jiwa
yang serius dan juga yang tidak begitu serius. Mereka menggunakan kaedah
percakapan (verbal) dalam mengendalikan rawatan sakit jiwa atau kecelaruan
tingkah laku. Manakala kaunselor pula menurut Brems (2001) adalah seorang yang
mempunyai kelulusan ijazah dalam bidang kaunseling.
Matlamat
Rickey
(1995) menyatakan dalam konteks yang kontinum matlamat psikoterapi adalah lebih
kepada melibatkan keseluruhan perubahan ke atas struktur peribadi klien,
manakala matlamat kaunseling adalah tepat dan terbatas, lebih terarah kepada
perkembangan, lebih berkaitan dengan situasi segera dan lebih mengutamakan
dalam membantu individu agar berfungsi dan menjalankan peranan dengan
sebaiknya.
Byrne dalam
Sapora Sipon et al (2003) menyatakan matlamat kaunseling bagi kaunselor adalah
untuk menggunakan kemahiran teknikalnya dengan berasaskan penghargaan terhadap
individu, tanpa mengira pendidikan, kecerdasan, warna kulit atau latar belakang
individu tersebut. Untuk membantu pihak yang dikaunsel mencapai kesedaran
tentang dirinya serta mengekalkan kesedaran tersebut supaya dia menjadi orang yang
bertanggung jawab terhadap dirinya dan ini dapat meningkatkan perhatian
terhadap kesejahteraan orang lain, dan membantu pihak yang dikaunsel
menggunakan dengan sepenuhnya potensi dirinya yang selaras dengan cara hidupnya
dan batas etika masyarakatnya.
Klien dan Tempat
Rickey
(1995) menyatakan dari aspek profesional berhubung dengan klien pula adalah
psikoterapis berhubung dengan klien yang neurotik atau psikotik manakala
kaunselor berhubung dengan individu yang normal. Seting tempat juga berbeza kerana
psikoterapis lebih tepat berada di hospital manakala kaunselor bekerja dalam
seting pendidikan dan organisasi-organisasi lain.
Perbezaan
dan persamaan antara psikoterapi, kaunseling dan bimbingan.
Aspek perbezaan dan persamaan |
Psikoterapi |
Kaunseling |
Bimbingan |
Jenis pekerjaan |
Psikoterapis, Terapis,
Seorang yang profesional dan terlatih dalam bidang berkenaan
|
Kaunselor, seorang yang
profesional dan terlatih dalam bidang berkenaan |
Sesiapa sahaja tidak kira
individu (guru, pentadbir dsb), tidak profesional |
Kaedah menolong |
Merawat pesakit menggunakan
kaedah psikologi disamping ubat-ubatan, klien yang menghadapi masalah yang
serius, berlandaskan etika, mempunyai proses, teori sebagai garis panduan
pelaksanaan, menggunakan kemahiran-kemahiran kaunseling |
Menolong klien mengenal
diri, klien yang normal dan tidak memerlukan ubat-ubatan, berlandaskan etika,
mempunyai proses, teori sebagai garis panduan perlaksanaan, menggunakan
kemahiran-kemahiran kaunseling
|
Memberi bimbingan, tunjuk
ajar, tiada syarat etika, tidak melalui proses, tiada teori khusus,
menggunakan kemahiran-kemahiran kaunseling |