Teori Pemusatan Insan disebut juga sebagai teori konsep kendiri atau teori
fenomenologi yang digolongkan ke dalam psikologi kemanusiaan (humanistic),
gestalt dan kewujudan. Ia diasaskan oleh Carl Ransom Rogers di dalam tahun 40an
yang menamakannya kaunseling bukan-arahan atau kaunseling pusatan-klien. Ia
mencabar pendekatan-pendekatan pusatan-kaunselor dan kaunseling arahan yang
mengandaikan bahawa kaunselor itu dalam semua hal dan berkeupayaan membantu
kliennya di dalam semua bidang.
Ia mencabar teknik-teknik dan tatacara-tatacara yang berbentuk nasihat,
saranan, arahan kaunselor, pujukan, pengajaran, diagnosis dan pentafsiran oleh
kaunselor. Cabaran ini dilakukan oleh Rogers semata-mata kerana kepercayaan dan
keyakinannya bahawa manusia itu memang baik, memang boleh dipercayai, dan
memang mempunyai keupayaan yang banyak untuk memahami diri mereka sendiri serta
menyelesaikan masalah-masalah yang mereka alami sendiri, tanpa campur tangan
secara langsung oleh kaunselor. Ia berpendirian bahawa manusia itu boleh menuju
ke arah penentuan kendiri, jika mereka dibawa terlibat di dalam perhubungan
kaunseling atau terapi. Baginya sifat-sifat peribadi dan sikap kaunselor serta
hubungan antara klien dengan kaunselor itu adalah merupakan dua faktor utama
bagi kejayaan sesuatu proses kaunseling tanpa memerlukan arahan-arahan yang
langsung dari kaunselor seperti yang dianjurkan sebelum dan selepasnya. Kerana
itulah tatacara dan teknik tidak penting baginya.
Melalui penglibatannya yang meluas di dalam kaunseling dan psikoterapi
individu, Rogers telah mengemukakan teori dan pendekatannya yang dinamakan
terapi pusatan-klien di dalam tahun 1951. Teori ini terus diperbaikinya dan
hasilnya diterbitkan di dalam tahun 1962.
Teori dan pendekatan yang dikemukakan oleh Rogers ini mencetuskan minat yang
mendalam di kalangan para pendidik yang menekankan pengajaran pemusatan
pelajar. Di samping itu, Rogers juga telah mencuba teorinya untuk digunakan
dengan kelompok-kelompok, dan juga dalam kaunseling keluarga pada tahun 1970
dan 1972. Sejak kebelakangan ini seolah-olah sudah muncul minat untuk
menerapkan teorinya di dalam bidang perhubungan antarabangsa dan politik.
2.0 Latar Belakang Tokoh
Carl Ransom Rogers dilahirkan pada 8 Januari 1902 di Oak Park, Illinois
Chicago. Rogers merupakan anak ke-empat dari enam orang adik beradik. Ayahnya
merupakan seorang kontraktor dan jurutera. Kedua-dua ibubapanya sangat kuat
berpegang kepada agama. Rogers mempunyai adik beradik seramai enam orang dan
lima daripada mereka adalah lelaki. Hubungan mereka adik beradik sangatlah
rapat. Rogers amat rapat dengan ibunya berbanding ayahnya.
Semasa kecil Rogers adalah seorang murid yang cerdik dan pintar. Walaupun
dilahirkan dalam keluarga yang ramai, Rogers merupakan seorang pelajar yang
suka mengasingkan diri dan pendiam di sekolah. Beliau sangat sensitif orangnya.
Rogers telah memasuki Universiti Wisconsin dan memperolehi pencapaian di dalam
bidang akademik yang sangat baik. Di universiti itu beliau mengambil bahagian
dalam pelbagai aktiviti, termasuk rombongan ke negeri China sebagai perwakilan
dalam World Student Christian Federation Conference. Beliau mendapat Ijazah
pertamanya dalam bidang Sejarah pada tahun 1924. Beliau menerima Ijazah
kedoktorannya pada tahun 1931.
Pada tahun 1928, sebelum menerima ijazah kedoktorannya, beliau mula bekerja di
Rochester New York, terutamanya dengan kanak-kanak dan remaja yang bermasalah
yang dirujuk oleh mahkamah dan agensi-agensi kepada Child Study Department of
the Society for the Prevention of Cruelty to Children. Kemudian beliau dilantik
menjadi pengarah kepada Rochester Guidance Center. Pada tahun 1940 dia menjadi
professor di Ohio State University. Di antara tahun 1945 sehingga 1957 beliau
terlibat secara langsung dengan Counseling Center di University Of Chicago. Rogers
kemudian berpindah ke University Of Wisconsin. Pada tahun 1964 beliau menyertai
Western Behavioral Science Institute sebagai ‘resident fellow’. Dari tahun 1968
sehingga beliau meninggal dunia, Rogers menjadi resident fellow di Center for
studies di La Jolla, California. Rogers telah menulis beberapa buah buku antara
lain buku-buku yang ditulisnya ialah Counseling and Psychotherapy (1942),
Client-centered Therapy (1951), On Becoming a Person (1961), Carls Rogers On
Encounter Groups (1970).
Rogers banyak menerima penghormatan di sepanjang hidupnya. Beliau merupakan
orang pertama menjadi pengerusi kepada American Association for Applied
Psychology . Beliau bertugas sebagai pengerusi American Psychocogical
Association (APA) dari tahun 1946 – 1947 . Rogers meninggal dunia di La Jolla,
California pada 4 Februari 1987 ketika berusia 85 tahun selepas menjalani
pembedahan tulang punggung yang patah akibat satu kemalangan.
3.0 Pandangan Terapi Terhadap Kejadian Manusia
Menurut Amir Awang (1987), Carls Rogers mempunyai pandangan yang cukup teguh
mengenai sifat tabii manusia. Baginya manusia boleh berkembang secara positif
dan membina jika wujud perasaan percaya mempercayai, hormat menghormati yang
boleh dirasai dan dialami. Rogers menolak sekuat-kuatnya anggapan bahawa
manusia itu tidak boleh dipercayai dan pasif, dan menjadi mangsa sifat biologi
atau persekitarannya. Ia menolak anggapan kepercayaan bahawa manusia itu perlu
diarah, didorong, diajar, didera, diberi ganjaran, dikawal dan diuruskan
hidupnya oleh orang lain. Ia yakin bahawa manusia memang dari mula lagi sudah
mempunyai kecenderungan dan keupayaan semulajadi untuk berkembang peringkat
demi peringkat menuju ke arah nirwana kendiri, andainya wujud keadaan-keadaan
yang sesuai.
Menurut Ee Ah Meng (1997), Carls Rogers dalam teori Pemusatan Insan membuat
andaian bahawa manusia adalah rasional, baik dan bertanggungjawab. Manusia
boleh membuat keputusan sendiri yang membawa keoada kebebasan dan berdikari.
Sifat-sifat yang ada pada manusia adalah seperti membina, bekerjasama, boleh
dipercayai, bersifat realistik dan sanggup bersosial. Perasaan-perasaan negatif
yang terdapat pada manusia seperti marah dan benci memang wujud akibat penafian
keperluan seperti kasih sayang, keselamatan dan penerimaan.
Andaian-andaian teori ini terhadap manusia adalah seperti :
1. Konsep kendiri adalah persepsi tentang diri individu berdasarkan interaksi
kita dengan orang-orang lain.
2. Individu bertingkah laku dalam bentuk yang boleh meningkatkan konsep
kendirinya.
3. Masalah-masalah yang berlaku kerana timbul atau wujudnya antara konsep
kendiri dengan pengalaman-pengalaman yang lalu.
4. Hanya dengan pengalaman dan penghormatan barulah individu akan bersedia
untuk berkongsi masalahnya.
Menurut Suradi Salim (1996), manusia dianggap mempunyai sifat-sifat positif dan
mempunyai keinginan untuk berfungsi penuh, iaitu hidup dengan seberapa berkesan
yang boleh. Jika seseorang itu dibenarkan untuk berkembang dengan bebas, beliau
akan berkembang dengan sempurna dan akan menjadi individu yang positif dan
berjaya. Pandangan seseorang tentang dirinya dalam konteks persekitarannya
menentukan tingkah lakunya dan kepuasan peribadinya. Jika diberikan atau
disediakan dengan persekitaran yang menggalakkan, manusia akan berkembang
dengan yakin ke arah nirwana kendiri – menjadi apa sahaja yang dia inginkan.
Jika manusia tidak menerima kasih sayang dan sokongan orang yang penting
baginya, kemungkinan besar manusia menganggap dirinya tidak berharga dan
menganggap orang lain tidak boleh dipercayai, serta mereka akan bersikap
mempertahankan diri dan perkembangan ke arah nirwana diri akan terhalang.
Persepsi seseorang tentang diri dan persekitaranya merupakan realiti baginya.
Bagi Rogers, untuk membolehkan seseorang itu berkembang secara positif dan
membina, mestilah wujud tiga suasana atau keadaan, iaitu;
1. Kejujuran, keikhlasan da kebenaran
2. Penerimaan tanpa syarat dan perasaan ambil berat
3. Kefahaman yang mendalam
Jika ketiga-tiga keadaan ini dapat dirasai dan dialami oleh klien di dalam
hubungannya dengan kaunselor, ia juga akan mula menghayati sifat-sifat dan
ciri-ciri ini dan seterusnya lebih bersedia untuk menerima
pengalaman-pengalaman yang dilaluinya.
4.0 Matlamat Terapi
Matlamat yang ingin dicapai di dalam kaunseling / Terapi Pemusatan Insan ini bukanlah
sekadar menyelesaikan masalah yang dihadapi atau dialami pada masa itu, tetapi
apa yang lebih diutamakan ialah untuk mencapai perasaan bebas dan besepadu bagi
diri seseorang individu itu.
Tujuan kaunseling adalah untuk membantu klien di dalam proses perkembangannya,
agar ia dapat menghadapi dan mengatasi masalah masa kini dan masalah-masalah di
masa hadapan.
Dengan berasaskan kepada matlamat yang ingin dicapai, maka klien haruslah
bersedia untuk memisahkan dirinya daripada apa yang selama ini telah sebati
dengan dirinya bagi membolehkan dirinya berhadapan dengan realiti. Menurut Amir
Awang (1987), terdapat beberapa perkara yang dapat diperhatikan dan dirasai
oleh klien itu sendiri untuk mencapai maksud yang ingin dituju di dalam
kaunseling :
i) Klien bersedia menerima, merasai dan mengalami realiti yang sebenar, tanpa
mengherot-berotkannya untuk disesuaikan dengan struktur kendiri seseorang itu.
Klien tidak lagi bimbang atau takut untuk berhadapan dengan realiti. Ia sedia
menerima dirinya sendiri – baik atau buruk, ia dapat mengalami hidup dengan
cara yang baru dan dapat terus berkembang.
ii) Klien akan merasa yakin pada diri sendiri. Biasanya klien tidak yakin yang
ia boleh mengemudikan hidupnya, kerana itu ia sering meminta dirinya dibimbing
dan diarah. Tetapi apabila ia sudah sedia menerima dirinya dan berhadapan
dengan kenyataan, ia pun akan mula mempunyai keyakinan dan keupayaan sendiri
untuk mengawal dan mengarah hidupnya.
iii) Klien akan dipandu dan diarah oleh perasaan dan pemikirannya sendiri. Walaupun
penting bagi seseorang untuk memberi perhatian kepada nilai-nilai dan
norma-norma masyarakat, individu perlu juga mempunyai nilai-nilai sendiri untuk
memandu dirinya. Ia harus bersifat inner directed dan tidak dikongkong oleh
outer directedness. Melalui inner directedness ini ia akan memperolehi kepuasan
kerana ia dapat membuat sesuatu keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri.
iv) Klien dalam keadaan untuk terus berkembang. Apabila wujud di dalam diri
klien kesediaan untuk terus hidup, untuk terus mengalami peristiwa-peristiwa
baru, untuk terus menghadapi cabaran-cabaran dan masalah-masalah baru, maka
individu telah mencapai suatu tahap positif di dalam proses hidupnya. Dari sini
ia akan bersedia membuat ketetapan-ketetapan baru untuk dirinya, untuk mencari
matlamat-matlamat baru untuk hidupnya. Ia tidak lagi perlu bergantung kepada
orang lain untuk mengarah atau mengawal hidupnya. Ia sudah berupaya menuju ke
arah matlamat baru.
5.0 Teknik Pemusatan Insan
Menurut Hansen, Stevic & Warner (1986), Kaunseling Pemusatan Insan
mengandaikan bahawa setiap individu mempunyai keinginan untuk berkembang,
matang dan mencapai atau menuju ke arah kesempurnaan kendiri. Ini adalah
merupakan satu-satunya pendekatan teraputik yang utama yang bergantung terhadap
gerakan dalaman klien untuk menuju ke arah pertumbuhan. Individu dilihat
sebagai boleh memulihkan diri, memerlukan kemesraan, dan persekitaran yang
menyokong untuk mencapai kepuasan kendiri pada tahap yang tinggi.
Menurut Gelso & Carter (1985), hubungan kaunselor dengan klien dilihat
sebagai ramuan yang penting di dalam psikoterapi. Dalam perhubungan kaunseling,
komunikasi difokuskan kepada individu yang mengalami masalah. Rogers (1986)
menyarankan tiga suasana yang fasilatatif iaitu :
i. Ketulenan sebenar atau kongruen
ii. Penerimaan, mengambil berat dan bersangka baik
iii. Mempunyai kefahaman empati
Kajian yang telah dibuat menunjukkan kaunseling pemusatan insan yang
dicadangkan oleh Rogers adalah sesuai untuk menggalakkan peningkatan
penyesuaian psikologikal pada diri klien. Melalui kaunseling pemusatan insan,
klien telah meningkatkan penghargaan kendiri. Menurut Carkhuff dan Berenson
(1967), kajian-kajian telah mengesahkan kepentingan sumbangan empati,
penghormatan dan ketulenan dalam proses kaunseling. Brammer dan Shostrom
(1982), satu ciri utama yang membezakan kaunseling pemusatan insan dengan
pendekatan lain ialah meningkatnya tahap tanggungjawab pada diri klien
berbanding dengan yang dijangkakan oleh kaunselor.
Amir Awang (1987), menjelaskan bahawa Rogers telah mengemukakan beberapa sifat
yang terdapat di dalam teori ini. Antaranya ialah teori ini dianggap sebagai
fleksibel dan sedia menerima perubahan dari semasa ke semasa. Ia memberi fokus
kepada keupayaan klien serta tanggungjawabnya untuk mencari jalan bagi
menghadapi kenyataan, dan seterusnya menghasilkan tingkahlaku yang sesuai
dengan realiti. Pendekatan teori ini memberi tumpuan utama kepada dunia
fenomenologi klien sendiri. Ini bermaksud setiap klien melihat kenyataan atau
realiti menurut kaca mata dan teropongnya sendiri. Manakala kaunselor harus
bersedia untuk menerima persepsi subjektif ini dan harus bersedia merasai dan
mengalami apa yang dirasai dan dialami oleh klien melalui proses empati.
Kaunselor juga harus mengelak dari mencemuh, menyangkal, mengkritik atau
sebagainya.
Pendekatan teori ini boleh digunakan dengan semua jenis klien iaitu normal,
neurotik dan psikotik. Melalui hubungan yang dibina oleh kaunselor bersama
klien yang kongruen, menerima kliennya tanpa syarat dan mempunyai keupayaan
untuk berempati, klien dengan sendirinya akan menemui dirinya sendiri melalui
proses kaunseling. Dengan menggunakan teori ini kaunselor hendaklah ikhlas,
jujur, mesra dan bersedia menerima kliennya, serta mempunyai kebolehan untuk
berempati secara tepat. Dengan sifat dan kebolehan ini, klien bolehlah diajak
untuk memberi fokus kepada apa yang dirasai dan dialaminya masa kini dan pada
ketika itu.
Sebagai suatu teori yang menekankan usaha bersama di antara kaunselor dan klien
untuk membolehkan klien berkembang, kaunselor dan klien terlibat secara
langsung di dalam proses berkembang untuk menuju ke arah matlamat, manakala
kuasa dan kawalan tidak dipegang oleh kaunselor. Malah klienlah yang
memilikinya, dan klien juga yang menentukan bagaimana ia hendak menggunakan
kuasa dan kawalan ini bagi mengembangkan dirinya.(Rogers, 1977).
Antara teknik-teknik teori Pemusatan Insan ialah :
5.1 Penerimaan Tanpa Syarat
Teknik ini menekankan supaya kaunselor mempunyai sikap menerima klien tanpa
syarat iaitu tanpa menilai tingkahlaku, peristiwa atau perasaan klien sama ada
baik atau jahat. Dalam ertikata lain, kaunselor haruslah bersedia menerima
kliennya tanpa mengenakan apa-apa syarat ke atasnya. Ia harus bersedia menerima
kliennya tanpa prasangka atau sebarang penilaian. Kaunselor juga haruslah juga
sering berwaspada agar ia tidak memberi gambaran kepada kliennya yang ia sedia
menerima kliennya, agar kliennya rasa senang terhadapnya lantas memuji,
menyanjung atau menghargai kesediaanya menerima klien. Sikap ikatan dua hala
ini (double binding) hendaklah dielak bagi menghindarkan perasaan ada udang
disebalik batu. Tanpa mengenakan syarat seperti ini, klien akan dapat merasa
ketulenan kaunselor tadi untuk menolongnya dan dengan wujudnya persepsi dan
perasaan seperti ini, maka lebih mudahlah proses perubahan personaliti berlaku,
kerana tidak akan terasa sebarang ancaman.
5.2 Empati
Sifat empati adalah kebolehan untuk merasa dan mengenalpasti perasaan orang
lain dan kemampuan memberitahu kepada klien daripada sudut pandangannya, iaitu
cuba masuk ke dalam ruang rujuk klien.
Di dalam teknik ini memerlukan kaunselor mempunyai kefahaman empati yang tepat.
Klien yang datang bersamanya membawa dunia subjektifnya, yang tentu berbeza
daripada dunia subjektif kaunselor itu sendiri. Dari huraian klien, baik
melalui bahasa mahupun melalui gerak-geri tubuh badannya, kaunselor haruslah
berusaha menyelami dunia subjektif kliennya, sehingga ia dapat merasai,
mempersepsi dan mengalami segala apa yang dirasai, dipersepsi dari alam objektifnya
dari realiti yang sebenar.
5.3 Ketulenan
Sifat jujur, ikhlas dan tulen harus ada pada kaunselor yang menggunakan teknik
ini. Ketulenan adalah kebolehan untuk menjadi sejati dan benar dengan orang
lain. Kaunselor tidak sepatutnya menyelewengkan komunikasi, menyembunyikan
motif atau bertindak dengan agenda yang tersembunyi, berpura-pura dan mengelak.
Kaunselor haruslah bersikap terbuka dengan klienya. Ia tidak tersekat-sekat
atau teragak-agak untuk menyampaikan apa jua yang dirasainya, baik yang positif
mahupun negatif. Dengan yang demikian ia dapat menjadi sebagai contoh atau
model kepada kliennya untuk juga bersifat terbuka, jujur dan ikhlas di dalam
menyatakan perasaan dan pengalamannya.
5.4 Aktif Mendengar dan berfikir
Mendengar merupakan satu kemahiran yang amat penting dalam sesi kaunseling.
Tumpuan yang penuh ataupun konsentrasi hendaklah diberikan kepada apa yang
klien cakap samada secara lisan atau bukan lisan. Tumpuan atau perhatian
merupakan prasyarat terhadap membantu. Pendengar yang aktif akan memberi maklum
balas tentang apa yang dicakapkan menggunakan perkataannya sendiri untuk tiga
sebab iaitu ;
a. ia akan memastikan ia betul-betul faham apa yang dicakapkan oleh kliennya
b. ia akan memastikan ia betul-betul telah mendengar
c. ia akan membantu klien membuat pendedahan kendiri
Mengenal pasti perasaan dapat memberitahu kepada klien bahawa kaunselor sedang
mendengar dan menggalakkan klien untuk bercakap lebih bebas. Ini boleh membantu
untuk merangka suatu ketetapan yang lebih memuaskan. Menurut Mc Kay, Davis dan
Fanning (1983) menyatakan bahawa mendengar dengan aktif memerlukan kaunselor
bekerjasama di dalam proses berkomunikasi. Ini termasuklah parafrasa,
menjelaskan dan maklum balas.
5.4.1 Parafrasa
Parafrasa bermaksud mengatakan dengan perkataan sendiri apa yang telah
dikatakan oleh klien seperti; Ø “apa yang saya faham” Ø “dengan kata lain…”
Kaunselor harus memparafrasakan apabila klien menyebut sesuatu yang penting
kepadanya.
5.4.2 Penjelasan
Penjelasan bermaksud bertanyakan soalan untuk mendapatkan penjelasan agar
kaunselor boleh memahami kenyataan-kenyataan yang kabur. Tujuannya ialah
memahami dari konteks bagaimana cara berfikir klien dan perasaannya terhadap
sesuatu masalah.
5.4.3 Maklum Balas
Sewaktu temubual kaunseling maklum balas menyediakan peluang untuk kaunselor
berkongsi apa yang difikirkan, dirasakan dan untuk menyemak persepsi. Untuk
menyemak persepsi kaunselor merangka apa yang dia dengar dan dipersepsikan ke
dalam tentatif.
5.5 Kongruen
Kongruen memerlukan kaunselor bersifat telus terhadap klien, iaitu jika
kaunselor merasa marah terhadap cara klien berkomunikasi tetapi dia
menyembunyikannya. Ini menyebabkan berlakunya tidak kongruen. Adalah menjadi
satu dilema untuk menjadi kongruen kerana ia kadangkala bercanggah dengan sikap
tidak menghukum.
5.6 Mendengar untuk merasa
Interaksi yang berkesan melibatkan pemahaman yang mendalam terhadap dunia
seseorang dan menyatakan kefahaman itu kepada klien. Melalui pendengaran dan
tindakan yang tepat, halangan yang merintangi persefahaman dua hala boleh
dihindari. Dinkmeyer & Losoney, 1980, mengenalpasti dan menyatakan perasaan
dalam sesuatu mesej boleh dirangka dalam bentuk; Ø “perasaan kamu sekarang” Ø jika apa yang saya dengar
ini betul”
5.7 Mendengar dengan empati
Mendengar dengan empati bermaksud kaunselor menyedari bahawa walaupun sesuatu
perkara amat berat tetapi kaunselor perlu juga membantunya. Kaunselor perlu
bertanya diri sendiri bagaimana kepercayaan dan keputusan walau pun ia mungkin
gagal tetapi boleh mengurangkan kerisauan klien.
5.8 Menghormati
Menghormati adalah kemahiran interpersonal yang menunjukkan penghargaan tentang
keunikan orang lain, toleransi terhadap perbezaan atau kelainan, kemahuan dan
keinginan untuk berinteraksi dengan orang lain secara sama rata.
5.9 Penerimaan yang mesra
Teknik ini merupakan keupayaan untuk bersifat terbuka, peramah dan menerima
menggunakan komunikasi bukan lisan yang boleh menyampaikan isyarat-isyarat
kongruen, keterbukaan dan kesudian untuk mendengar.
5.10 Konfrontasi
Konfrontasi merupakan keupayaan untuk memberitahu seseorang individu itu
tentang perselisihan tingkah laku dan kesannya terhadap dirinya sendiri, dengan
cara yang tidak agresif, tidak menghakimi, tidak kritikal atau tidak defensif
(mempertahankan diri). Ia bertujuan untuk menyedarkan individu tersebut sama
ada tingkah lakunya menggalakkan atau menghalang perhubungan interpersonalnya.
5.0 Peranan Kaunselor
Dengan adanya sikap dan kebolehan berempati, kaunselor haruslah berperanan
seperti yang dijelaskan oleh Corey (1996);
a. Kaunselor berfungsi sebagai fasilitator bagi perkembangan seseorang klien.
Kaunselor haruslah mewujudkan suasana teraputik iaitu mewujudkan suasana yang
tenang, selesa dan sesuai agar dapat menggalakkan klien mengalami suatu rasa
bebas untuk meneroka dan mengalami cabang-cabang hidup yang disangkalnya. Oleh
itu klien dapat dibantu supaya tidak bersifat defensif. Kaunselor harus
menganggap klien sama taraf dengan kaunselor dan berusaha mengenali masalahnya.
b. Kaunselor perlu mewujudkan suasana iaitu kaunselor harus berada dalam
keadaan kongruen dan klien berada dalam keadaan tidak kongruen. Kaunselor
bersedia menerima tanpa syarat, prasangka dan tidak beranggapan buruk terhadap
klien. Kaunselor harus berempati bagi merasai dan mengalami apa yang dirasai
dan dialami oleh klien.
c. Kaunselor haruslah memperlihatkan kepada kliennya yang ia dianggap sebagai
sama taraf dengan dirinya dan secara bersama mereka akan berusaha untuk
mengenali masalah klien dan mengatasinya.
d. Kaunselor tidak akan mendiagnos masalah klien. Ia hanya menjadi sebagai
cermin yang akan membantu klien melihat dirinya dan masalahnya dengan jelas.
Untuk mempastikan tercapainya perkara-perkara yang disebutkan di atas, haruslah
wujud:
a. pertemuan, baik secara langsung atau tidak langsung, di antara kaunselor
dengan klien
b. kaunselor haruslah di dalam kongruen, dan klien pula berada di dalam keadaan
tidak kongruen
c. Kaunselor bersedia menerima kliennya tanpa syarat, tanpa sebarang prasangka
dan anggapan
d. Kaunselor boleh berempati bagi merasai dan mengalami apa yang dirasai dan
dialami oleh klien
e. Kaunselor haruslah bersifat jujur, ikhlas dan terbuka
f. Klien pula haruslah dapat melihat dan merasai, tak banyak sedikit,
sifat-sifat dan kebolehan-kebolehan di atas yang ada pada kaunselor
6.0 Peranan Klien
Untuk sesuatu sesi kaunseling itu mencapai kejayaan, klien juga tidak terlepas
memainkan peranannya; antara peranan-peranan klien adalah seperti:
a. Klien haruslah memutuskan bahawa dia memerlukan khidmat kaunseling dan
datang secara sukarela dan bukan atas dasar paksaan atau disuruh oleh orang
lain
b. Pada awalnya, klien menghadapi kebimbangan, percanggahan perasaan dan
fikiran
c. Klien harus merasa bersedia untuk berbincang apabila merasa diterima dan
dapat menghayati perhubungan kaunselor dengan klien
d. Klien merasa lebih terbuka dan bebas meluahkan perasaan dan menjelajah diri
e. Klien akan cuba untuk mencari penyelesaian dengan bantuan klien sendiri
f. Klien akan menentukan pilihan dan tindakannya sendiri. Kaunselor hanya bertindak
membantu klien dalam membuat pilihan
g. Klien berupaya dan bersedia untuk berubah
h. Klien bersedia untuk terus berkembang dalam usaha mencari matlamat baru
7.0 Aplikasi teori dalam bidang kaunseling
Teori ini sangat sesuai digunakan di dalam seting sekolah kerana ia menekankan
kaedah pengajaran pemusatan pelajar. Ini bersesuaian kerana teknik-teknik dan
tatacara-tatacara yang digunakan adalah berbentuk nasihat, saranan, pujukan dan
pengajaran adalah sesuai untuk pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah dan
menengah. Teori ini juga sangat berkesan dalam mengubah tingkah laku pelajar.
8.0 Kekuatan Terapi
Menurut Shertzer & Stone (1992), antara matlamat yang ingin dicapai ialah
membina individu agar dapat berkembang dengan sihat. Oleh itu antara kekuatan
teori ini menurut mereka ialah :
a. menekankan kepentingan hubungan yang akrab antara kaunselor dengan klien
b. Menanamkan pendapat bahawa penerimaan, penghargaan serta kejujuran kaunselor
merupakan syarat-syarat yang amat penting bagi mewujudkan perhubungan
c. Memupuk pendapat bahawa klien ialah rakan kongsi penuh dalam hubungan dan
bukan hanya sebagai rakan yang merendah diri
9.0 Limitasi Teori
Seperti teori-teori yang lain, terapi pemusatan insan ini juga mempunyai
kekurangan dan kelemahannya. Antara lain ialah ;
a. Terapi ini tidak mempunyai satu set teknik atau tatacara yang tertentu yang
terdapat di dalam setengah-setengah psikoterapi.
b. Terapi ini kurang menyediakan panduan tentang cara mewujudkan hubungan
kaunselor dengan klien
c. Kebanyakkan konsep di dalam terapi ini tidak dapat dibuktikan dan diukur
dengan mudah. Ianya terlalu abstrak.
10.0 Kesimpulan
Secara positif, suatu sumbangan yang paling besar telah diberikan oleh Rogers
melalui teorinya ialah keyakinannya yang kuat tentang keupayaan dan
kecenderungan manusia untuk berkembang ke arah nirwana kendiri. Pendirian yang
positif seperti ini telah memberikan maruah dan darjat kepada manusia, yang
akan berusaha mencerminkan kepercayaan sedemikian.
Rogers juga secara tidak langsung mengutarakan nilai-nilai dan sikap-sikap
positif di dalam berinteraksi dengan orang lain dengan menegaskan betapa
pentingnya kita menerima orang lain tanpa syarat, bersedia mendengar dan
memahami orang lain dari kaca mata dan dunianya yang subjektif, serta
menekankan pentingnya kejujuran, keikhlasan dan ketulenan di dalam segala
tindak tanduk kita, kerana melalui penghayatan sikap dan nilai-nilai sebegini
kita boleh menjadi contoh atau model yang berguna bagi orang lain.
Tanpa mempunyai pendirian yang menghakim atau judgemental, klien akan lebih
bersedia untuk meluahkan isi hatinya kepada kita, kerana dia yakin bahawa apa
juga yang dikemukakan itu tidak akan diberi nilai, dan hal sebegini tidak
dirasakan sebagai mengancam dirinya.
Secara negatifnya, bolehlah dikatakan bahawa kebanyakkan konsep-konsep yang
dikemukakan itu tidak dapat diperhatikan dan tidak pula dapat diukur dengan
mudah, kerana ianya bersifat konsep yang abstrak.
Pergantungannya kepada laporan kendiri boleh membawa hasil yang tidak begitu
memuaskan kerana klien yang beremosi dan berfikiran kusut mungkin tidak
berupaya untuk melahirkan isi hatinya dengan tenang dan teratur. Ini sudah
tentu boleh menghasilkan kesimpulan-kesimpulan yang juga tidak tepat.
Tanpa sedikit sebanyak panduan, arahan, manipulasi proses kaunseling akan
memakan masa yang amat panjang. Biar apa sekalipun kelemahan-kelemahan yang
terdapat di dalam teori ini, satu hal yang tidak dapat dinafikan ialah teori
ini amat memudahkan klien untuk meluahkan isi hatinya, kerana melalui perhubungan
yang mesra di antara kaunselor dan klien, klien begitu yakin yang kaunselor
merupakan orang yang boleh diharap dan memang bertanggungjawab serta
bersunguh-sungguh akan berusaha menolongnya.