ekaunseling
   Utama      ekaunseling      Teori Tingkahlaku Negatif
 

widgets
 
 
Teori-Teori Tingkah Laku Negatif

Azizi Yahaya & Muhamad Jumat Aliju
Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia.

Abstrak : Artikel ini membincangkan tentang tingkah laku negatif di kalangan pelajar.
 
Terdapat beberapa teori tentang tingkah laku negatif yang wujud seperti teori pembelajaran sosial, teori kekecewaan-agresif dan teori ajukan sosial.

Katakunci : teori tingkah laku negatif, teori pembeljaran sosial, teori kekecewaan-agresif, teori ajukan sosial

Pengenalan

Terdapat beberapa teori tentang tingkah laku negatif yang telah diguna pakai di dalam kajian yang lepas. Teori-teori ini dapat menghuraikan punca wujudnya keadaan tingkah laku negatif dikalangan remaja. Antara teori-teori yang telah diguna pakai dalam kajian lepas adalah:

Teori Pembelajaran Sosial (Albert Bandura)

"Teori Pembelajaran Sosial" yang telah diperkenalkan oleh Albert Bandura (1977). Di
dalam teori ini menekankan tentang aspek interaksi antara manusia dengan persekitarannya.

Terdapat bebrapa faktor yang mempengaruhi tingkah laku anti sosial pelajar remaja, iaitu
kelakuan pelajar itu sendiri, pengaruh persekitaran dan interaksi kognitif. Namun menurut
Bandura (1977) latihan pemerhatian atau modeling adalah amat penting dalam pembentukan tingkah laku agresif.

Teori pembelajaran sosial yang diaplikasikan oleh Bandura (1973) juga merumuskan
bahawa perkara utama yang sering dipelajari oleh kanak-kanak dan remaja ialah melalui
pemerhatian terhadap tingkah laku orang lain, khususnya orang yang signifikan dengan mereka. Menurut Mahmood (2001), tingkah laku agresif dipelajari daripada persekitaran sosial seperti interaksi dengan keluarga, rakan sebaya, media massa dan konsep kendiri individu. Oleh kerana manusia dipengaruhi oleh persekitaran mereka, maka remaja akan memilih salah satu daripada pengaruh persekitaran mereka untuk ditauladani. Jika tingkah laku negatif ditunjukan oleh ibu bapa, maka remaja akan terikut-ikut kepada tingkah laku ibu bapa tersebut dan jika ia ditunjukan oleh rakan sebaya remaja, ia juga akan menjadi ikutan remaja.

Menurut Bandura (1977), terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi tingkah laku anti
sosial pelajar remaja, iaitu kelakuan pelajar itu sendiri, pengaruh persekitaran dan interaksi kognitif. Pendekatan teori pembelajaran sosial juga menekankan kepentingan penilaian kognitif dan emosi. Teori ini memperlihatkan pengaruh-pengaruh sedar dan penentu-penentu sosial ke atas personaliti.
Menurut Bandura (1977), latihan pemerhatian atau modeling adalah amat penting dalam
pembentukan tingkah laku agresif. Ibu bapa merupakan model utama bagi kanak-kanak. Jika ibu bapa menunjukkan tingkah laku devian yang agresif di hadapan kanak-kanak, maka kanak-kanak akan mudah meniru tingkah laku tersebut. Begitu juga ibu bapa yang sering bertingkah laku devian akan mewariskan tingkah laku tersebut kepada anak-anak mereka.
 
Rajah 1: Konsep Determinisme Timbal Balik Dalam Teori Pembelajaran Sosial.

Dalam Teori Pembelajaran Sosial Bandura dan Mischel (1986), mereka menyatakan ada
beberapa perbezaan manusia atau ‘pemboleh ubah individu’ berinteraksi dengan sekitaran bagi mempengaruhi tingkah laku mereka pada masa akan datang.

Rajah 1: Konsep Determinisme Timbal Balik Dalam Teori Pembelajaran Sosial.

Beberapa angkubah individu tersebut adalah seperti berikut :
i. Kebolehan - apa yang terupaya atau boleh dilakukan oleh seseorang itu seperti
kecerdasan, kebolehan fizikal dan lain-lain.
ii. Strategi pengkodan - cara bagaimana manusia memilih dan menumpukan perhatian
kepada rangsangan luaran, mengkodkan dan membentuk kategori-kategori yang
bermakna bagi dirinya.
iii. Apa yang diharapkan - hasil daripada sesuatu tingkah laku yang dipaparkan oleh
individu berkenaan.
iv. Nilai subjektif - adakah sesuatu tingkah laku itu lebih bermakna bagi seseorang
berbanding dengan individu yang lain.
v. Sistem pengendalian - apakah cara yang sesuai boleh digunakan oleh seseorang dan
perancangan untuk mencapai matlamat.
B = Tingkah laku
P = Kognitif, persepsi dan peristiwa
dalaman yang mempengaruhi.
E = Alam sekitaran luaran B E

Teori Kekecewaan-Agressif

Teori seterusnya yang membincangkan tentang perkembangan tingkah laku negatif
remaja ini adalah Teori Kekecewaan-Agressif oleh Sigmund Freud (1950). Teori Kekecewaan-Agressif ini menyatakan bahawa tingkah laku devian agresif ialah salah satu tindak balas semula jadi terhadap kekecewaan yang dialami oleh manusia.
Menurut Sigmund Freud (1950) melalui teori psikoanalisisnya, menyatakan bahawa
setiap manusia secara semula jadinya menginginkan keseronokan dan cuba mengelak kesakitan.

Apabila kedua-dua keinginan itu tidak dapat diperolehi oleh manusia, manusia akan bertindak agresif.

Setiap individu mempunyai kecenderungan secara semula jadi atas faktor biologi menjadi
agresif bila kecewa. Kenyataan ini disokong melalui hipotesis kekecewaan-agresif yang
menyatakan bahawa tingkah laku agresif adalah disebabkan kekecewaan. Pernyataan ini telah disokong oleh Kenneth dan Moyer (1961) yang telah mengemukakan hipotesis kekecewaanagresif.

Durkheim (1987) berpendapat perasaan kecewa yang dialami oleh pelajar merupakan
satu faktor penyebab kepada perlakuan gengsterisme di sekolah. Penyelidik ini berpendapat tekanan yang dialami oleh pelajar untuk mencapai gred yang baik dalam peperiksaan dan tindakan disiplin yang keras membangkitkan perasaan kecewa dan seterusnya perlakuan gengsterisme berlaku di sekolah.

Berdasarkan teori psikoanalisis, Kenneth dan Moyer (1961) telah mengemukakan hipotesis
kekecewaan-agresif. Menurut teori kekecewaan-agresif, tingkah laku agresif adalah disebabkan oleh kekecewaan. Setiap individu mempunyai kecenderungan secara semula jadi atas faktor biologi menjadi agresif bila kecewa.

Teori Ajukan Sosial
Selain daripada teori-teori di atas, terdapat teori lain yang dapat menerangkan tentang
peranan ibu bapa dan rakan sebaya dalam perkembangan tingkah laku delikuen remaja. Teori tersebut adalah Teori Ajukan Sosial yang telah diperkenalkan oleh Moffitt (1993). Teori Ajukan Sosial ini menerangkan mengapa seseorang itu mula terlibat dengan kumpulan rakan sebaya devian semasa remaja. Menurut Moffitt (1993), wujud jurang kematangan semasa seseorang itu mencapai tahap keremajaan, keadaan ini terjadi apabila seseorang itu telah mencapai tahap kematangan bilologikal namun masih mempunyai tahap pemikiran sama seperti kanak-kanak.

Oleh kerana, seseorang itu mencapai tahap kematangan biologi seawal umur 10 tahun
namun masih tidak mempunyai panduan yang betul untuk diguna semasa zaman dewasa, oleh itu seseorang remaja terpaksa untuk mencari jalan lain sebagai tututan status kedewasaan mereka.

Dalam keadaan ini, remaja akan tertarik dengan rakan sebaya dan kumpulan rakan sebaya lain yang sama seperti remaja tersebut iaitu berada di dalam proses mencari tingkah laku kedewasaan dan mencapai status untuk menjadi dewasa.

Kajian lain menyasarkan bahawa interaksi antara ibu bapa dan anak serta penolakan
rakan sebaya merupakan faktor perantara dalam pembangunan tingkah laku negatif remaja. Dishion et al. (1994), menggunakan model tekanan dan pertemuan untuk menerangkan perkembangan tingkah laku negatif.
Dalam model ini, ketidak sejajaran penguatan daripada ibu bapa kepada anak mereka
merupakan punca tekanan dan tingkah laku anti sosial. Tingkah laku ini kemudiannya terbawabawa kepada keadaan lain seperti hubungan dengan rakan sebaya. Tingkah laku anti-sosial ini menyebabkan kepada keadaan dimana remaja menghadapi masalah penolakan daripada rakan sebaya. Kegagalan dalam pemilihan rakan sebaya tersebut pula, menyebabkan remaja terpaksa bertukar kepada tingkah laku negatif dan sterusnya bergaul dengan rakan sebaya yang negatif.

Dalam keadaan lain, bagi mentafsirkan tentang teori ajukan sosial, model ini
menerangkan bahawa remaja akan mencari kumpulan rakan sebaya yang negatif apabila mereka gagal dalam pengalaman pertama mereka dengan kumpulan rakan sebaya yang normal.

Penolakan daripada rakan sebaya menyebabkan keperluan sosial remaja tidak dapat dipenuhi, yang mana remaja kemudiannya memilih kumpulan rakan sebaya yang lain untuk berkongsi tingkah laku aggresif mereka.

Teori Ajukan Sosial Sebagai Model Kajian

Daripada teori-teori berkaitan dengan tingkah laku negatif yang telah diterangkan di atas.
Pengkaji telah memilih Teori Ajukan Sosial yang telah diperkenalkan oleh Moffitt (1993)
sebagai model untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi masalah tingkah laku negatif dikalangan remaja sekolah. Teori ini sangat sesuai digunakan, kerana teori ini melihat tingkah laku negatif sebagai tingkah laku yang dipelajari dan bukannya satu tingkah laku yang wujud secara semula jadi dalam diri individu.

Teori ini menunjukan proses bagaimana bermulanya masalah tingkah laku negatif
seseorang remaja itu. Menurut teori ini seseorang remaja itu akan mencapai tahap kematangan biologi seawal umur 10 tahun Moffit (1993), tetapi pada peringkat umur ini remaja tersebut tidak masih tidak mengenali cara hidup dan sikap yang sesuai dengan mereka. Dalam keadaan ini,orang yang paling penting dalam menentukan kehidupan remaja aalah ibu bapa remaja itunsendiri. Penguatan daripada ibu bapa kepada anak mereka merupakan punca tekanan dan tingkah laku anti sosial. Tingkah laku ini kemudiannya terbawa-bawa kepada keadaan lain seperti hubungan dengan rakan sebaya. Apabila remaja yang tidak mendapat penguatan yang secukupnya daripada ibu bapa, mereka mungkin gagal dalam pergaulan dengan rakan sebaya yang seterusnya terpaksa mencari rakan sebaya yang negatif. Pada keadaan tersebut bermulalah
masalah tingkah laku negatif.

Perkembangan tingkah laku negatif dan penglibatan dengan kumpulan rakan sebaya
negatif boleh difahami melalui rangka kerja yang diperkenalkan oleh Bronfenbrenner (1979). Menurut teori yang diperkenalkan oleh beliau, seseorang individu bergaul dengan berbagai sistem dalam kehidupan harian. Mikrosistem seperti rumah dan sekolah, merupakan perkara yang kanak-kanak akan terlibat secara terus. Tingkah laku yang dipelajari daripada salah satu mikrosistem akan terbawa-bawa kepada mikrosistem yang lain. Dalam keadaan ini, tingkah laku yang dipelajari dari rumah, dalam konteks hubungan ibu bapa dan anak, akan terbawa-bawa ke sekolah dan digunakan dalam menjalankan hubungan dengan rakan sebaya. Manakala faktor penolakan daripada rakan sebaya akan menyebabkan kepada penglibatan dengan rakan sebaya yang negatif. Kesan daripada persekitaran rumah merupakan faktor utama di dalam kajian tentang kanak-kanak dan remaja, iaitu sebagai penyebab mereka cenderung untuk bergaul dengan sistem lain dalam kehidupan mereka (Jackson & Fondacaro, 1999).

Penggunaan Teori Ajukan Sosial diyakini sesuai oleh penyelidik kerana teori ini mengambil kira peranan kognitif dalam pembentukan tingkah laku seseorang remaja. Teori Ajukan Sosial merupakan gabungan teori pengukuhan (rangsangan dan tindak balas) dan teori kognitif. Teori Ajukan Sosial menjelaskan bahawa tingkah laku manusia akibat daripada pengaruh interaksi  antara kognitif, persekitaran dan perlakuan manusia lain.
 
 
 
KOLEKSIMINDA
https://koleksiminda.com